Wednesday 6 January 2016

Kisah

Alkisah, di sebuah pekan kecil tinggal seorang anak gadis yang sedang membesar. 

Suatu hari tiba-tiba ada satu rasa yang menyerap jiwanya untuk dia berpergian. Sepertinya ada suara yang menyuruh dia untuk timba ilmu yang pastinya bukan di tanah airnya. Untuk kali ini sudah tiga kali rasa itu datang menyuruh dan mengajaknya menimba ilmu di sana. Pada waktu yang pertama kali rasa itu datang dia cuma rasa itu mungkin mainan perasaan.

''Ahh jangan berangan. Dua tiga hari lagi pasti rasa itu hilang", ayat itu yang sering dia ucapkan bila rasa itu datang.

Bukan sekali rasa itu datang. Datangnya tanpa salam. Datangnya juga membawa resah pada si gadis. Datangnya pasti lama untuk hilang lagi. Sering kali dia nafikan rasa itu. Mungkin hanya mimpi dia di siang hari. Acap kali dia mimpi tempat itu apabila rasa itu bertandang. Mimpi yang menceritakan dia belajar di sana. Terbayang di mata betapa bahagiannya dia di sana. Suasana dini yang dia impikan. Lalu adakah itu angan-angan hingga masuk dalam mimpi dia? Pernah satu ketika rasa itu datang seperti memanggil-manggil diri dia untuk terus ke sana. Rasa itu dihalau jauh jauh. Sejauh yang mungkin. Kalau tidak ikut akal waras pastinya dia sudah putus asa. Kerana apa? Saat rasa itu datang seperti memanggil dia untuk ke sana, waktu itu final exam dia hampir tiba. Rasa itu benar-benar menganggu fokus dia. Beberapa hari dia hilang fokus kerana memikirkan hal itu. Bertuahnya dia kerana punya kawan yang faham akan keadaan dia lalu memberi kata-kata semangat. Dia tahu tempat itu dari ayahnya yang pernah ziarah di sana. Dia lalu tertarik kemudian cuba mengumpulkan semua maklumat untuk tahu lebih lanjut tempat itu. Hatinya benar-benar sudah terpikat pada tempat itu. 

Beberapa purnama berlalu, rasa itu datang menjenguknya kembali. Mungkin rindu kali dengan dia. Atau mahu menguji sejauh mana keinginannya mahu ke sana. Atau hanya sekadar cakap kosong seperti angin lalu. Entah dia kurang pasti. Yang nyata jika rasa itu hadir pasti dia akan lihat gambar tempat itu. Untuk kali ini dia seperti yakin untuk ke sana. Pernah dia utarakan hasratnya kepada bapa yang disayangi tapi seperti tidak dihiraukan. Kepada Sang Khaliq dia memohon untuk memakbulkan doanya. Dia ingin rasa belajar dan hidup di suasana dini walaupun cuma sekejap.